THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Friday, January 22, 2010

SHAMIRA

Jam di dinding rumahku berbunyi tujuh kali. Matahari di ufuk barat sudah tidak kelihatan. Kemerahan cahaya mega menyelubungi suasana. Setiap benda yang kulihat semuanya dijangkiti kemerahan mega. Kedengaran kicauan beburung di sana-sini seolah-olah gelisah dengan kedatangan malam.

Dalam suasana petang itu aku terlihat sepasang burung pipit di pohon inai di hadapan rumahku. Burung-burung itu terlompat-lompat, menari-nari dari satu dahan ke satu dahan yang lain dan akhirnya masuk ke dalam sarang. Ketibaan sepasang burung pipit ini disambut dengan kercipan anak-anaknya yang setia menanti. Dedaun di hujung ranting melambai-lambai dengan penuh lemah-gamalai. Bayu petang itu mengusap lembut tubuhku. Sungguh damai dan nyaman suasana petang itu.

Hari beransur gelap. Keindahan maya tadi telah ditelan kehitaman malam. Aku tinggalkan beranda dan masuk ke dalam rumahku. Aku tutup daun tingkap dan pintu yang masih terbuka. Lampu kalimantang bulat di ruang tamu ku pasang. Aku terpandang potret kami berdua di hari perkahwinan lapan tahun yang lalu. Kami memakai songket merah hati bertekad benang emas penuh. Aku memegang tangan Abang Man yang kelihatan begitu segak dan kacak.

Alangkah seronoknya kami pada hari itu. Bisik hatiku. Aku rasakan bagai permaisuri di sisi sultan di atas takhta semasa pertabalan. Kami tersenyum lebar. Potret itu juga membawaku kepada malam manis di malam pertama. “Mulai malam ini abang berjanji akan menjadi seorang suami yang bertanggungjawab dan mencintai Lia hingga ke akhir hayat”. “Lia berjanji akan menjadi seorang isteri yang setia dan ibu yang baik kepada anak-anak kita”. Terngiang-ngiang ucapan ini di telingaku.

Aku mengeluh panjang. Aku rasa badanku lesu bila mengenangkan nasibku yang tidak seperti orang lain. Aku merasa amat sedih dan sayu.

“Ya Allah, kau kasihanilah hambamu ini. Aku ingin hidup seperti orang lain. Kau makbulkanlah segala hajat dan niatku”. Keluhan doa yang sentiasa di bibirku.

Mungkin abang Man overtime hari ini. Tapi mengapa dia tidak telefon ke rumah untuk memberitahuku. Bukannya susah, Cuma angkat gagang telefon, tekan tujuh nombor dan beritahu aku. Dia sudah benci padaku! Abang Man tidak seperti itu, dia seorang suami yang baik, setia dan penyayang. Hati manusia boleh berubah dalam sekelip mata sahaja. Hari ini baik, esok lusa jahat.

Umur sudah empat puluh tahun tetapi Abang Man masih tampan dan segak. Masih bergaya. Sekali pandang macam anak teruna. Tambahan, zaman sekarang anak-anak muda ramai yang kahwin lambat. Kalau mengaku belum kahwin lagi, mungkin ada gadis yang percaya. Kulit kuning langsat. Tegap tubuhnya. Tinggi orangnya dan rambutnya masih hitam berkilat. Aku mula sangsi terhadap kesetiaan Abang Man kerana dia kerap pulang lambat tapi Abang Man bila di rumah mencurahkan kasih-sayangnya kepada aku seperti masa mula-mula kahwin dulu juga. Aku didakap, dicium, dan rambutku dibelai. Aku beras tidak patut untuk mencurigainya. Aku merasakan lidahku begitu berat untuk bertanya tentang perubahan dirinya.

Jam berdenting sepuluh kali. Aku tersentak dari lamunan. Aku bangun dan terus ke ruang tamu. Aku tekan suis televisyen dan kutonton drama Nur Kasih. Mungkinkah nasibku seperti Nur Amina di dalam drama ini? Ah! Aku tidak dapat memberi tumpuan kerana fikiranku berserabut. Aku bangun dan menutup suis televisyen. “Puan Atilia, menurut pemeriksaan kami, puan tidak boleh mengandung kerana saluran peranakan puan ada ketumbuhan dan perlu dibuang. Ketumbuhan itu akan mengancam nyawa. Peranakan puan perlu dibuang. Saya minta puan bersabar dan tenangkan fikiran. Aku memandang Abang Man. Aku menyembamkan mukaku ke dadanya dan meraung semahunya. “Sabar Lia, abang tetap sayangkan Lia”. Abang Man dah jemu. Dia sudah ada kekasih baru! Mungkin dia ingin kahwin lagi. Dia ingin anak. Menimang cahaya mata. Air mataku berderai-derai membasahi pipiku. Akuu kesat dengan lengan baju tidurku. “Pon!Pon!Pon”. aku dengar bunyi hon kereta di garaj. Aku lihat jam dinding yang tersangkut di tiang seri. Pukul sebelas malam. Aku bergegas ke pintu. Aku buka pintu. Aku berdiri di depan pintu dan tidak menjemput Abang Man di kereta. “Lia belum tidur lagi?” kata Abang Man. Aku sambut begnya. Aku didakap dengan manja. Dahiku dikucup dengan mesra. “Abang banyak kerja hari ini, terpaksa balik lewat.” Jelas Abang Man.

“Alasan! Pandai berdalih!” kata hatiku. Aku tidak mengendahkan kata-kata Abang Man. Aku terus masuk ke dapur dan menyediakan segelas air oren dan kuletakkan di atas meja di hadapan Abang Man. Aku naik semula ke atas. Setelah selesai minum Abang Man naik ke atas dan masuk bilik. “Abang! Kita kena pergi berubat cara kampung pula. Lia tidak tahan lagi begini. Lia sunyi. Abang pun dah tidak sukakan Lia lagi”. Dadaku sebak dan tidak mampu lagi meluahkan kata-kata. “Bukan abang tak mahu jumpa bomoh. Memang dulu abang dah fikirkan. Tetapi abang khuatir kita jadi syirik. Berdosa besar”. “Abang sayangkan Lia walau apapun terjadi. Lia isteri abang dunia akhirat. Percayalah sayang!” lembut pujukan Abang Man.

“Abang! Lia nak tahu megapa sejak akhir-akhir ini abang selalu balik lambat? Lia nak tahu abang! Cakap bang! Cakap! Cakap!” bentakku agak keras. “Lia! Abang dah kata tadi abang banyak kerja.”kata Abang Man agak serius dengan mukanya merah padam.

Pagi itu setelah Abang Man ke pejabat, aku dikunjungi Mak cik Timah, jiranku. “Lia, mak cik dengar Man pulang lewat semalam. “Ya mak cik. Sejak kebelakangan ini Abang Man selalu pulang lewat. Katanya banyak kerja. “Kau kena jaga Lia! Mungkin dia simpan perempuan lain. Orang lelaki memang pandai berpura-pura. Di depan kita pijak semut pun tak mati tetapi di belakang kita bersultan di mata beraja di hati.” Mak cik Timah menyambung. Aku diam menundukkan kepala. Pandanganku jatuh ke dalam secawan kopi yang dihidangkan kepada tetamuku.

“Tak mungkin dia buat begitu!” Aku menidakkan umpatan Mak Cik Timah. “Lia! Mak cik dah lama hidup. Macam-macam cerita yang mak cik dah dengar. Nanti kau juga yang menderita.”kata Mak Cik Timah dengan penuh bergaya. Tak apalah Lia. Mak cik balik dulu. Kami bersalaman dan aku memberinya not RM 20.00 sebagai ansuran baju kurung yang ku beli darinya bulan lepas.

Aku terpandang diari jingga Abang Man tertinggal di atas meja. “Selalunya diari itu tidak pernah tertinggal. Kenapa hari ini tertinggal pula?” aku kuatkan semangat untuk membuka, membelek dan membaca.


25 Julai 2009

Pertama kali aku berjumpa dengan Shamira. Dia anggun dan aku terpikat dengan keriangannya.

30 Julai 2009

Aku bawa Shamira berjalan-jalan ke Bandar Selesa. Dia begitu gembira. Aku belai rambutnya. Sebelum pulang aku belikan sepasang baju kurung untuknya.

10 Ogos 2009

Aku tahu Amelia yang aku nikahi 8 tahun dahulu tidak mampu melahirkan anak. Keinginanku untuk menimang cahaya mataku sendiri hancur berkecai. Rumahku sunyi. Aku menemui Shamira lalu menyayanginya. Akan ku bawa dia pulang ke rumahku. Amelia pasti dapat menerimanya.

Aku tutup diari itu. Aku tidak sanggup membacanya lagi. Aku lemparkan diari itu ke dinding. Aku sembamkan mukaku ke lantai dan aku menangis. Pandanganku berpinar-pinar. Aku rasakan rumahku berpusing-pusing. “Sampai hati abang menduakan Lia. Lia begitu setia kepada janji-janji. Sampai hati abang berlaku curang denganku.” Aku menangis tersedu-sedu seorang diri. Lama-kelamaan aku tersedar. Aku mengambil keputusan untuk berkorban demi kebahagiaan Abang Man. Sekiranya dia hendak berkahwin dengan Shamira, aku izinkan.

“Abang! Lia relakan abang menikah dengan Shamira demi kebahagiaan abang.’kataku. “Lia! Sedarkah apa yang Lia katakana ini?” tanya Abang Man dengan nada terperanjat. Aku mengangguk-angguk. “Shamira tidak akan merampas kasih sayang abang pada Lia! Percayalah!” jawab Abang Man selamba. “Siapa Shamira abang? Siapa?” aku seolah-olah memaksa. “Esok abang beritahu.’ “Kenapa tidak masa ini?” abang Man tersengeh. Aku bertambah sayu. Aku lindungkan kesayuan itu di sebalik senyuman. “Esok kita jumpa dia. Kebetulan esok hari jadinya.” Jelas abang Man. Malam itu aku tidak dapat tidur. Memikirkan bagaimana aku hendak menghadapi semua ini. Aku nekad akan mengizinkan Abang Man berkahwin dengan Shamira. Aku ku layan Shamira dengan baik.

Sayup-sayup terdengar kokokan ayam yang bersahutan menandakan hari hamper siang. Aku terus ke dapur selepas menunaikan solat Subuh. Air muka suamiku kelihatan berseri-seri pagi ini. Bersiul-siul dan menyanyi-nyanyi ketika mandi. Gembira sekali lagaknya. Selepas sarapan aku melihat Abang Man mengangkat kotak hadiah ke dalam kereta. Aku kunci pintu rumah dan masuk ke dalam kereta. Kami pun berangkat. “Di mana abang nak bawa Lia ni? Maksudku tempat kediaman Shamira. Abang Man tersenyum lebar.

Aku angkat kotak hadiah dan kudapati begitu berat. Aku membelek-belek kotak hadiah itu. Aku terpandang tulisannya. Aku membaca.

“SELAMAT HARI JADI YANG KE 12 TAHUN”

SHAMIRA BT ABDULLAH.

RUMAH KEBAJIKAN TAMAN SENTOSA PERAK



DARI MAMA DAN PAPA

Aku bersyukur!!!!!!! Aku gembira. Aku tidak sabar lagi untuk bertemu dengan Shamira….

 
(Alangkah bahagianya jika ada lelaki seperti ini di dunia)......

0 comments: